Pengenalan
- Last Updated: Wednesday, 23 October 2019 09:23
- Published: Friday, 21 November 2014 10:00
- Written by Super User
Sektor Kesihatan Dewasa, sebelum ini dikenali sebagai Unit Kesihatan Wanita. Selaras dengan perkembangan skop unit yang merangkumi penilaian risiko kesihatan bagi kedua-dua lelaki dan wanita, nama unit ini telah bertukar kepada Unit Kesihatan Dewasa pada tahun 2009. Pada permulaannya, Unit Kesihatan Wanita dikenali sebagai Unit Perancangan Keluarga. Walau bagaimanapun pada tahun 1995, dengan penyusunan semula Kementerian Kesihatan di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) dan selaras dengan fungsi yang tidak terhad kepada aktiviti perancangan keluarga sahaja, Unit Kesihatan Wanita telah meluaskan skop yang meliputi saringan kanser reproduktif (payudara dan kanser pangkal rahim), aktiviti-aktiviti kesihatan reproduktif termasuk isu gender dan keganasan terhadap wanita.
Fungsi utama bagi Sektor Kesihatan Dewasa adalah merancang, memantau pelaksanaan dan menilai pencapaian serta keberkesanan program kesihatan dewasa. Perincian fungsi merangkumi:
1) Merancang dan membangun dasar bagi program kesihatan untuk warga dewasa yang meliputi kesihatan reproduktif, penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit dengan fokus pada aspek promosi kesihatan dan pencegahan.
2) Memperkukuhkan aktiviti-aktiviti kesihatan reproduktif terutamanya kanser reproduktif seperti kanser payudara dan servik.
3) Memantau isu-isu berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif wanita dan gadis dalam arena antarabangsa.
4) Merancang dan membangunkan dasar serta strategi berkaitan dengan kesihatan seksual dan reproduktif.
5) Membentuk garis panduan, prosedur operasi piawai, modul latihan, bahan pendidikan kesihatan dan sebagainya.
6) Memantau pelaksanaan dan pencapaian program melalui:
a) Pengurusan data
b) Mesyuarat-mesyuarat teknikal
c) Menjalankan penyeliaan pelaksanaan program
7) Memberi latihan dan pembangunan modal insan kepada pemberi perkhidmatan kesihatan.
8) Menyediakan kertas-kertas maklumbalas hasil mesyuarat WHA, WHO, CEWAD, ICPD dan yang berkaitan.
9) Menjalinkan kerjasama antara bahagian dan intra bahagian dalam KKM serta agensi kerajaan yang berkaitan, badan bukan kerajaan serta pihak swasta dalam merancang pelaksanakan aktiviti program.