Pengenalan
- Last Updated: Wednesday, 08 February 2023 15:21
- Published: Tuesday, 11 November 2014 14:17
- Written by Super User
Perkhidmatan kesihatan ibu adalah perkhidmatan kesihatan yang disediakan kepada ibu hamil sebagai kumpulan sasaran utama. Fokus perkhidmatan adalah kepada penjagaan pra kehamilan, penjagaan antenatal, penjagaan intrapartum dan kelahiran, penjagaan postnatal dan perancang keluarga. Perkhidmatan ini disediakan di semua fasiliti Kementerian Kesihatan iaitu di hospital, klinik kesihatan, klinik ibu dan anak serta klinik desa.
Sektor ini bertanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan kesihatan ibu yang disediakan pada peringkat penjagaan primer iaitu di klinik kesihatan, klinik ibu dan anak serta klinik desa adalah mencukupi, berkualiti serta memenuhi kehendak pelanggan. Teras perkhidmatan adalah berasaskan prinsip kesihatan awam iaitu promosi dan pencegahan, pengesanan dan rawatan awal, mengehadkan ketidakupayaan serta pemulihan.
Fungsi utama bagi Sektor Kesihatan Ibu adalah merancang, memantau pelaksanaan dan menilai pencapaian serta keberkesanan program kesihatan ibu. Perincian fungsi merangkumi:
1) Merancang dan membangun dasar serta strategi perkhidmatan penjagaan kesihatan ibu yang meliputi perkhidmatan pra kehamilan, semasa hamil, semasa bersalin dan selepas bersalin.
2) Merancang strategi perkhidmatan perancang keluarga.
3) Pengurusan audit dan data kematian ibu hamil.
4) Menyedia garis panduan, prosedur operasi piawai, modul latihan dan lain-lain.
5) Merancang dan membangun indikator Program Kepastian Kualiti.
6) Penganjuran latihan kursus yang berkaitan
7) Memberi input serta mengenal pasti penyelidikan dan perancangan perkembangan program.
8) Memberi input keperluan sumber manusia, kewangan dan peralatan.
9) Pembangunan projek ICT bagi proses pengauditan kematian ibu hamil.
10) Memantau pelaksanaan dan pencapaian program melalui:
a) Pengurusan data
b) Mesyuarat-mesyuarat teknikal
c) Menjalankan penyeliaan pelaksanaan program
11) Menyediakan Laporan Kemajuan serta Impak Program Penjagaan Kesihatan Ibu.
12) Promosi kesihatan dan penglibatan komuniti.
13) Kolaborasi strategik dengan pelbagai agensi bagi meningkatkan tahap kesihatan ibu seperti KPWKM, EPU, UNICEF, UNFPA dan lain-lain.