Pengenalan
- Last Updated: Wednesday, 08 February 2023 15:05
- Published: Friday, 21 November 2014 12:04
- Written by Super User
Perkhidmatan kesihatan bagi Kanak-kanak Berkeperluan Khas (KKKK) bermula pada tahun 1986 sebagai program intervensi awal. Perkhidmatan ini memberi tumpuan kepada pengesanan awal di klinik kesihatan dan rujukan ke hospital untuk rehabilitasi. Pada tahun 1996, di bawah Rancangan Malaysia Ke-7, perkhidmatan rehabilitasi telah dimulakan di klinik kesihatan yang terpilih di mana perkhidmatan rehabilitasi asas telah disediakan oleh jururawat terlatih dan diselia oleh terapis di hospital.
Dari tahun 1996 hingga 2005, aktiviti yang dijalankan adalah tertumpu kepada KKKK. Bersesuaian dengan perkembangan perkhidmatan, sejak tahun 2002, terapis telah ditempatkan di klinik kesihatan. Mulai tahun 2006, penekanan diberi kepada pembangunan perkhidmatan untuk OKU dewasa dan mengukuhkan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk KKKK.Pelan Tindakan Penjagaan Kesihatan OKU 2011-2020 telah disediakan dan adalah sejajar dengan Konvensyen Mengenai Hak OKU 2007 dan Akta OKU 2008 yang menggariskan perkhidmatan kesihatan untuk OKU.
Bagi memantau pembangunan dan pelaksanaan program kesihatan untuk OKU, dua jawatankuasa utama telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia iaitu Jawatankuasa Teknikal Kesihatan OKU dan Jawatankuasa Quality Life Carebagi OKU.
Program Penjagaan Kesihatan Bagi Orang Kurang Upaya (OKU) merangkumi penjagaan Kanak-kanak Berkeperluan Khas (KKKK) di klinik kesihatan dan komuniti, program rehabilitasi bagi kebutaan dan penglihatan terhad, pencegahan dan kawalan terhadap masalah kepekakan serta perkhidmatan rehabilitasi untuk OKU dewasa.
Fungsi utama bagi Sektor Kesihatan Orang Kurang Upaya (OKU) adalah merancang, memantau pelaksanaan dan menilai pencapaian serta keberkesanan program kesihatan OKU. Perincian fungsi merangkumi:
1) Pembangunan dasar dan perancangan dalam program kesihatan OKU
2) Merancang aktiviti dalam program kesihatan OKU pada peringkat jagaan primer termasuk komuniti dan institusi yang meliputi:
a) Saringan kesihatan
b) Pengesanan dan intervensi awal
c) Rujukan
d) Rehabilitasi
e) Nasihat dan kaunseling
f) Promosi dan pendidikan kesihatan
g) Penglibatan komuniti
3) Memantau pelaksanaan dan pencapaian program melalui:
a) Pengurusan data
b) Mesyuarat-mesyuarat teknikal
c) Menjalankan penyeliaan pelaksanaan program
4) Membentuk garis panduan, modul latihan, prosedur operasi piawai, bahan pendidikan kesihatan dan sebagainya.
5) Memberi input penyelidikan dan perancangan bagi perkembangan program.
6) Memberi input mengenai keperluan sumber manusia, kewangan dan peralatan.
7) Memberi latihan dan pembangunan modal insan kepada pemberi perkhidmatan kesihatan.
8) Menyediakan Laporan Kemajuan serta Impak Perkhidmatan Kesihatan OKU.
9) Memberi input teknikal berkaitan penjagaan kesihatan OKU kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
10) Jalinan kerjasama antara agensi termasuk badan-badan bukan kerajaan dan Pertubuhan Ibu Bapa bertujuan untuk memastikan penyediaan penjagaan menyeluruh untuk golongan OKU dan keluarga.