Pengenalan
- Last Updated: Wednesday, 23 October 2019 09:16
- Published: Thursday, 13 September 2018 10:07
- Written by Super User
Sektor Kesihatan Sekolah bertanggungjawab bagi pengurusan:
A) Program Kesihatan Sekolah
B) Program Saringan Pembawa Talasemia dalam Populasi
A) Program Kesihatan Sekolah
Rancangan Kesihatan Sekolah mula dilaksanakan di Malaysia pada tahun 1967 dengan berteraskan kepada perkhidmatan kesihatan diri, pendidikan kesihatan melalui kurikulum, kesihatan persekitaran sekolah dan penglibatan masyarat.
Matlamat Program Kesihatan Sekolah adalah untuk menilai taraf kesihatan kanak-kanak pra-sekolah dan murid sekolah, menggalakkan bimbingan dan panduan kepada murid, ibubapa dan guru mengenai keperluan dan masalah kesihatan kanak-kanak pra-sekolah dan murid sekolah. Ini membantu dalam mengenalpasti pendidikan dan penjagaan kesihatan murid yang disyaki mempunyai masalah pembelajaran, kecacatan fizikal, masalah sosial dan sebagainya, membina pengetahuan, sikap dan perilaku yang baik untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menggalakkan pembinaan persekitaran fizikal dan sosial yang sihat dalam persekitaran sekolah.
Bagi mencapai matlamat di atas, pada tahun 1972 Pasukan Kesihatan Sekolah mula beroperasi di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu. Penubuhan Pasukan Kesihatan Sekolah seterusnya diperluaskan ke semua negeri di Malaysia bagi menjalankan Perkhidmatan Kesihatan Berkala kepada kanak-kanak prasekolah, murid Tahun 1, Tahun 6, Tingkatan 1 dan Tingkatan 3 melalui:
1) Pendidikan kesihatan
2) Pencegahan penyakit melalui imunisasi
3) Saringan kesihatan mengikut umur murid
4) Pemeriksaan kesihatan dan rawatan ringan
5) Rujukan dan pemantauan status kesihatan murid sekolah
B) Program Saringan Pembawa Talasemia Dalam Populasi
Saringan pembawa Talasemia mula dilaksanakan secara sistematik pada tahun 2009 dengan matlamat seperti berikut:
1) Mengurangkan kelahiran bayi Talasemia.
2) Meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam dan golongan muda mengenai
kepentingan saringan pembawa Talasemia.
3) Memperkukuhkan perkhidmatan saringan Talasemia dalam kalangan keluarga pesakit dan pembawa Talasemia.
4) Memperkukuhkan saringan pembawa Talasemia dalam golongan muda.
5) Memperkukuhkan sistem rangkaian makmal saringan dan pengesahan status pembawa.
Fungsi utama bagi Sektor Kesihatan Sekolah adalah merancang, memantau pelaksanaan dan menilai pencapaian serta keberkesanan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah serta Program Kawalan dan Pencegahan Talasemia. Perincian fungsi merangkumi:
A) Perkhidmatan Kesihatan Sekolah
1) Merancang dan membentuk dasar bagi program dan perkhidmatan kesihatan sekolah.
2) Merancang dan memperkukuhkan program dan perkhidmatan kesihatan sekolah melalui:
a) Promosi dan pendidikan kesihatan
b) Saringan kesihatan
c) Nasihat dan kaunseling
d) Penjagaan kuratif
e) Rujukan
3) Memperkukuh dan memperluaskan Sistem Pengesanan dan Pengesahan untuk murid yang bermasalah pembelajaran.
4) Memperkukuhkan saringan kesihatan remaja dalam kesihatan sekolah dengan memantau pelaksanaan BSSK dalam perkhidmatan kesihatan sekolah.
5) Memantau pelaksanaan dan pencapaian Program Pelalian HPV Kebangsaan.
6) Membentuk garis panduan, modul latihan, prosedur operasi piawai, bahan pendidikan kesihatan dan sebagainya.
7) Memberi latihan dan pembangunan modal insan kepada pemberi perkhidmatan kesihatan.
8) Memantau pelaksanaan dan pencapaian program melalui:
a) Pengurusan data
b) Mesyuarat-mesyuarat teknikal
c) Menjalankan penyeliaan pelaksanaan program
9) Menyediakan Laporan Kemajuan serta Impak Perkhidmatan Kesihatan Sekolah.
10) Memberi input teknikal berhubung kesihatan murid kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.
11) Memberi input dan mengenalpasti penyelidikan dan perancangan bagi memperkukuhkan program dan perkhidmatan kesihatan sekolah.
12) Perkongsian pintar dengan pelbagai agensi berkaitan seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
B) Program Kawalan dan Pencegahan Talasemia
1) Merancang dan membangun dasar bagi Program Kawalan dan Pencegahan Talasemia peringkat jagaan primer.
2) Memperkukuhkan pelaksanaan Program Kawalan dan Pencegahan Talasemia peringkat kesihatan primer dengan:
a) Memperkukuhkan aktiviti promosi bagi menggalakkan ujian saringan pembawa Talasemia terutamanya dalam kalangan golongan muda.
b) Memperkukuhkan perkhidmatan makmal saringan dan pengesahan pembawa gen Talasemia.
c) Memperkukuhkan perkhidmatan kaunseling sebelum dan selepas saringan pembawa Talasemia.
d) Memperkukuhkan saringan dalam kalangan ahli keluarga terdekat pesakit dan pembawa Talasemia (cascade screening).
e) Menggalakkan pasangan yang akan berkahwin untuk menjalani saringan pembawa Talasemia.
3) Memantau pelaksanaan dan pencapaian program melalui:
a) Pengurusan data program
b) Mesyuarat-mesyuarat teknikal
c) Menjalankan penyeliaan pelaksanaan program
4) Membentuk garis panduan, prosedur operasi piawai, modul latihan, bahan pendidikan kesihatan dan sebagainya.
5) Memberi latihan dan pembangunan modal insan kepada pemberi perkhidmatan kesihatan.
6) Menyediakan Laporan Kemajuan serta Impak Program Kawalan dan Pencegahan Penyakit Talasemia.